Kadangkala disebabkan kepenatan dan stres di tempat kerja atau hal lain, papa dan mama jadi mudah marah dan cepat mengambil tindakan di luar kawalan sekiranya anak berbuat silap atau buat perangai.
Jangan cepat herdik dan tengking anak ya papa dan mama! Cuba latih diri untuk belajar menahan emosi diri dan berfikir secara rasional sebelum terus menengking anak. Buruk kesannya pada anak jika anda terlepas cakap dan hukum mereka atas kesalahan kecil yang dilakukan.

1. Siasat dulu
Lebih baik anda siasat dulu apa yang menyebabkan anak buat perangai yang boleh mengganggu emosi anda. Salah satu sebabnya mungkin si kecil belum tahu bagaimana meluahkan perasaannya dengan cara lain. Anda boleh bertanya, kenapa dia melakukan perkara itu.

2. Membina hubungan yang rapat dengan anak
Biasanya kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapanya akan lebih mudah menerima disiplin yang diamalkan kepada mereka.

3. Berikan perhatian
Anak kecil sangat suka perhatian daripada papa dan mama. Jadi, berikan pujian setiap kali dia berkelakuan baik. Tetapi jangan bertindakbalas secara berlebihan ketika dia membuat nakal kerana anak akan mengulang lagi perbuatannya atas alasan mahu perhatian anda.

4. Ajak anak berbincang
Bila dalam keadaan bertenang, ajak anak berbual tentang kelakuan mereka yang tak elok. Gunakan suara yang lembut tetapi tegas bernada nasihat kepada anak. Ketika in anak akan lebih mendengar kata. Kanak-kanak cepat faham apa yang kita beritahu sekiranya mereka dalam keadaan bertenang. Anda pun tak perlu mengeluarkan banyak tenaga untuk marah dan cakap terjerit-jerit semasa mereka membuat perangai.

5. Sentiasa memastikan anak kenyang dan cukup rehat
Antara punca utama kanak-kanak cepat meragam dan buat perangai adalah faktor perut lapar, mengantuk dan letih. Oleh itu anda perlu tahu yang keperluan utama si kecil telah dipenuhi bagi mengelakkan mereka meragam. Bila perut kenyang, cukup tidur dan cukup rehat maka anak pun lebih seronok bermain dan kurang buat perangai.
Sebenarnya pentingnya persefahaman antara papa dan mama dengan anak-anak. Menjadi ibu bapa memang tugas yang berat dan mencabar, sebab itu pentingnya kena ada ilmu dan info keibubapaan yang betul supaya emosi anda juga tidak cepat melenting pada anak-anak.